I made this widget at MyFlashFetish.com.

Rabu, 19 Ogos 2009

RTM terus GAGAL memartabatkan bahasa Melayu


Nampaknya, tahap pencemaran bahasa Melayu oleh RTM sudah melampau. Sudah banyak kali teguran dan kritikan yang membina dikemukakan oleh pencinta bahasa Melayu. Ada antara kritikan itu yang diambil peduli oleh RTM, tetapi masih banyak yang tidak diambil kisah bahkan berterusan saja RTM sengaja melakukan kerosakan bahasa Melayu.Timbul pertanyaan kesangsian dalam hati kecil saya, "Siapakah sebenarnya yang memperlekeh dan tidak memuliakan bahasa ibunda kita, jauh sekali memartabatkannya?

Dalam kes yang terbaru, RTM telah dengan sewenang-wenangnya menukarkan istilah PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU yang sudah mapan sejak mula tertubuhnya The United Nations itu dengan istilah PERTUBUHAN BANGSA BERSATU. Kesengajaan ini terbukti apabila kita mengikuti berita media elektronik RTM pada waktu mutakhir ini.Apakah maknanya penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Bahasa dalam Media Penyiaran yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Penyiaran Malaysia, Yang Berhormat Dato' Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini? Adakah penubuhannya sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja? Apakah program dan aktiviti yang sudah disusun untuk dilaksanakan oleh jawatankuasa pemantauan berkenaan?

RTM berada di depan mata jawatankuasa pemantauan. Mustahil kelemahan RTM yang banyak dan ketara dari segi bahasa tidak disedari oeh jawatankuasa ini. Ataupun tiada siapa jua yang ambil cakna? Ataupun jawatankuasa ini tidak berwibawa? Saya sedia dipanggil oleh Jawatankuasa Pemantauan Bahasa dalam Media Penyiaran untuk saya dedahkan hasil pantauan saya sejak lebih daripada sepuluh tahun betapa bobroknya bahasa Melayu yang menjadi amalan media penyiaran di negara kita. Peruntukkan masa selama sekurang-kurangnya empat jam kepada saya.

Saya berani menegaskan bahawa 'dosa' kedua-dua orang menteri yang berkenaan kerana tiadanya initiatif yang intensif untuk mendaulatkan bahasa Melayu lebih besar daripada dosa kesalahan Sharifah Amani kerana tidak menggunakan bahasa Melayu ketika berucap ringkas sewaktu menerima anugerah gelaran Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM 19). Setinggi-tinggi pujian dan penghargaan saya sampaikan kepada Dr.Rais Yatim yang pada pengamatan saya merupakan menteri yang paling baik penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan menteri dan ahli parlimen Malaysia.

Syabas dan tahniah, Dr.Rais Yatim; tetapi ingin saya menyedarkan Dr.Rais bahawa masih banyak aspek tatabahasa bahasa Melayu yang wajib beliau pelajari dan fahami untuk beliau benar-benar menguasai bahasa Melayu pada tahap yang terbaik. Setakat ini, saya dapati teguran Dr.Rais hanya terhadap mereka yang menggunakan bahasa campur aduk atau bahasa rojak dan mereka yang mengabaikan penggunaan bahasa Melayu.

Saya tercari-cari ke manakah menghilangnya Munsyi Dewan seramai 164 orang yang telah dilatih khusus oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam menolong memartabatkan bahasa Melayu? Mengapakah semuanya menikus, membiarkan sahaja bahasa Meayu dilenyek-lenyek dengan hinanya? Atau memang mereka manusia yang tidak bertanggungjawab? Bagaimana pula dengan DBP sendiri? Saya berpendapat, DBP ketandusan idea untuk melaksanakan program mantap yang menjurus ke arah mercu ketinggian martabat bahasa Melayu. Saya tidak nampak pun dewasa ini ada seorang pendukung bahasa Melayu yang benar-benar disegani di DBP.

Pada fikiran saya, hanya Kementerian Pelajaran Malaysia yang berupaya dan berwibawa untuk menobatkan bahasa Melayu walaupun terpaksa mengambil masa yang lama. Lagipun, Kementerian Pelajaran yang menjadi punca ketidakpersisan bahasa Melayu ini wajib bertanggungjawab untuk mengembalikan kegemilangan dan kemurnian bahasa Meayu dan meletakkanya di tempatnya yang istimewa.Saya ada idea dan akal untuk saya salurkan kepada Kementerian Pelajaran. Saya amat yakin, idea saya (nanti) cukup ideal. Semoga maruah bahasa Melayu yang melambangkan maruah bangsa Melayu itu senantiasa terpelihara, insya-Allah.


*Dipetik dari HarakahDaily.net(sy berunsur bebas dari mana-mana fahaman POLITIK yeee)

Tiada ulasan:

Blog Widget by LinkWithin