I made this widget at MyFlashFetish.com.

Khamis, 17 September 2009

::.BAHASA MELAYU PEMBAWA MALANG?.::

:what::what::what::what::what::what::what::what::what:


Dituduh menjadi punca pelajar lemah bahasa Inggeris MESKIPUN bahasa Melayu sudah dinobatkan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi negara ini mengikut undang-undang negara dalam Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan, tetapi masih ada yang kelompok jaki dan menjadikannya sebagai punca rakyat Malaysia tidak menguasai bahasa Inggeris.

Akhbar The Star bertarikh 23 Jun dalam ruangan ‘Other News and Views’ memetik laporan dalam Nanyang Siang Pau yang menyatakan bahawa penguasaan bahasa Inggeris pelajar di negara ini merosot kerana bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di sekolah kebangsaan.

Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, berkata kenyataan itu tidak munasabah kerana faktor penguasaan dalam sesuatu bahasa itu banyak bergantung kepada pelajar sendiri.

“Ini kenyataan nakal dan berniat menghina bahasa kebangsaan kerana tidak mungkin penguasaan bahasa Inggeris seseorang itu terganggu hanya disebabkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Saya yakin ada gerakan daripada kelompok tertentu yang mahu menafikan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” jelasnya.

Prof Teo yakin bahawa kecerdasan pelajar menjadi faktor utama dalam menentukan keupayaan pelajar menguasai banyak bahasa dan sekiranya diperkukuhkan lagi dengan inisiatif bersepadu daripada mereka, terbukti kelompok ini berjaya menguasai banyak bahasa dalam tempoh singkat.

“Lihat saja di kalangan pemimpin bukan Melayu yang bukan saja boleh berbahasa ibunda dengan baik, tetapi turut mampu menguasai bahasa Melayu dan Inggeris dengan cemerlang seperti Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Ong Tee Keat,” ujarnya.

Pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Bahasa Melayu, Raja Rajeswari Seetha Raman, pula berpendapat pemerkasaan penguasaan bahasa Melayu pelajar boleh dijayakan dengan mendedahkan mereka kepada maklumat kekayaan linguistik masyarakat pelbagai kaum di negara ini sejak dari peringkat sekolah rendah.

“Sistem pendidikan hari ini perlu diubah suai dengan mengangkat subjek kesusasteraan sebagai salah satu mata pelajaran teras bermula di sekolah rendah kerana ia mampu meningkatkan rasa cinta kepada negara dan salah untuk mengatakan bahasa Melayu mengurangkan minat pelajar untuk menguasai bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau memetik kajian pakar psikolinguistik, Noah Chomsky yang menemukan fakta bahawa dalam otak manusia ada satu alat iaitu Peranti Pemerolehan Bahasa (LAD) yang dapat membantu individu menguasai pelbagai jenis bahasa sedari awal umur tiga tahun.

“Saya tidak setuju dengan pandangan sesetengah individu bahawa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar negara ini berkurangan akibat bahasa Melayu, apalagi menggunakan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sebagai hujah,” jelasnya.

Beliau yang cergas dalam deklamasi puisi, turut menegaskan bahawa penguasaan pelbagai bahasa seseorang adalah inisiatif dalam dirinya sendiri dapat membantu mereka menguasai banyak bahasa jika usaha ditumpukan bagi mencapai matlamat terbabit.

“Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu diangkat dan diiktiraf sebagai lingua franca di Nusantara dan pahlawan Melayu, Hang Tuah, menguasai sehingga 12 bahasa dunia. Ini membuktikan bahasa Melayu bukan punca seseorang itu lemah menguasai bahasa Inggeris,” tegasnya.

Sastera turut mendapat pengalaman pelajar Diploma Komunikasi dan Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Melaka, Raja Nurashikin Raja Aziz, 19, dalam permasalahan penguasaan bahasa Inggeris dan beliau mengakui ada kebaikan dan keburukan jika sesuatu subjek itu diajar dalam bahasa Inggeris.

“Saya adalah generasi pertama yang belajar menggunakan bahasa Inggeris untuk subjek Sains dan Matematik. Pada awalnya kami tidak dapat menguasainya dengan baik, tetapi selepas terdedah beberapa lama kepada perkara terbabit, kami akhirnya dapat menguasai secara berperingkat.

“Justeru saya tidak bersetuju dengan kenyataan sesetengah pihak bahawa kegagalan pelajar menguasai bahasa Inggeris disebabkan bahasa Melayu. Andaian berkenaan tidak tepat kerana manusia boleh menguasai pelbagai bahasa penting, tetapi ia perlu disertai dengan usaha selari dengan matlamat untuk mendapatkan ilmu,” katanya.

Justeru, apa yang lebih penting adalah kesedaran masyarakat Malaysia mengenai kepentingan menguasai bahasa Melayu dan mengenali akar umbi masyarakat pelbagai kaum di negara ini dan tidak menjadi isu sekiranya sesuatu ilmu itu dipelajari dalam bahasa apa sekali pun, termasuk bahasa Melayu.


*BERITA HARIAN 17 SEPT*

Blog Widget by LinkWithin